Dari Meja Presiden : Peringatan Fitrah dan Kebaikan

Hari Lebaran pun tiba lagi. Ramadan kita lewati dengan hiba, setelah sebulan berpuasa dan beramal, umat Islam diajak pula untuk mengingati fitrah kejadian diri.

Sejak malamnya, takbir dan tahmid memuji kebesaran Allah S.W.T terdengar di mana-mana; di masjid dan surau-surau; juga meniti kebesaran Tuhan di bibir-bibir kita. Justeru untuk mencapai tanda kesyukuran dan kesucian hati, maka digalakkan untuk maaf-memaafi antara kita.

Begitulah dua cara dan matlamat asas apabila setiap kali tiba hari kebesaran Aidil Fitri. Dengan mengingati fitrah kejadian manusia, pastinya menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang menzalimi diri dan orang lain.

Betapa setiap anak yang lahir, seperti yang diajarkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ialah “ibarat kain putih”. Tidak ada sesiapa pun yang lahir dalam keadaan di luar fitrahnya sebagai manusia. Hanya apabila mendewasa, pernahkah kita bertanya ke mana hilangnya rasa belas ihsan dan kemanusiaan itu?

Politik dan pentadbiran negara sekalipun tidak terlepas daripada pertimbangan kebaikkan dan kejahatan. Malang seribu kali malang bilamana demi kuasa, manusia sanggup berbuat apa sahaja.

Di peringkat ini, Nabi S.A.W sekali lagi mengingatkan seraya “melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangan, jika tidak mampu, hendaklah cegah dengan kata-kata dan jika tidak berdaya, cegahlah dengan hati dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” (Hadith Muslim)

Di sebalik warna-warni dan kemeriahan hari raya, paling tidak kita akan melihat adanya kalangan yang terpinggir akibat ketidakadilan. Bayangkan sahaja bagaimana ibu-bapa kita yang di kampung-kampung, yang bekerja dengan tulang empat kerat, namun hasilnya bukan sahaja diabaikan, bahkan dirampas penguasa yang korup.

Kes misalnya yang berlaku di tanah-tanah Felda mahupun Felcra, apabila peneroka tua tidak mendapat hak mereka, sungguh memilukan. Tidakkah dapat dibayangkan, bagaimana perihnya ibu-ayah kita ini meneroka tanah, berpanas dan berhujan, tapi apabila sampai waktunya, wang poket mereka dirampas. Hak mereka tak diberikan.

Ketidakadilan nampaknya tetap berlaku di mana-mana. Di desa dan di kota. Tatkala kes di ceruk rantau pendalaman terbongkar, apakah sudah terbela nasib anak-anak muda yang bekerja di kota-kota besar dengan sara hidup yang begitu tinggi? Hutang golongan muda, khususnya di bawah skim pinjaman universiti PTPTN, kini bernilai berbilion ringgit.

Akibat tekanan hidup, kita bimbang pada bila-bila masa, tiang kebaikkan di dalam diri mereka akan tumbang. Sangat dibimbangi, mereka memilih jalan yang salah, termasuklah ada yang melakukan rasuah di tempat kerja. Bukannya mereka tak melihat dan tak tahu, andai dalam masa sama pemimpin tertinggi dilihat hidup mewah dengan rasuah dan kebejatan, apakah mereka tidak terpersona dengan kehidupan begitu?

Kejahatan lazimnya tak bermula sekaligus, melainkan sedikit demi sedikit. Beginilah bagaimana kemanusiaan dan nilai-nilai yang baik di dalam diri seseorang akan luntur apabila mereka dizalimi. Kita berdoalah minta dijauhkan daripada kerosakkan parah di tengah-tengah masyarakat, amin.

Begitu peringatan untuk kembali kepada fitrah, memperjuangan nilai-nilai yang baik, memelihara keadilan bukan peringatan kecil yang boleh dipandang enteng. Hari Lebaran yang penuh warna-warni sesunggguhnya cukup menjadikan kita insaf dan tak mudah melupakan bagaimana pengajaran sepanjang Ramadan bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Kepada yang mengambil perjalanan jauh pulang menemui ayah-bonda, pandulah dengan cermat dan semoga selamat sampai. Salam Aidil Fitri dari saya seisi keluarga dan seluruh barisan pimpinan Parti Keadilan Rakyat. Maaf zahir batin.

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Pakatan Rakyat, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan komen