Dari Meja Presiden : Destinasi Selepas 901… Putrajaya

Akhirnya, saudara Anwar Ibrahim bebas. Saya seisi keluarga mengucapkan syukur dan penghargaan tidak terhingga di atas doa dan sokongan semua selama ini.

Orang ramai berhimpun sejak malam, 8 Januari di perkarangan mahkamah terutama selepas dua ceramah utama malam itu, baik di Kampung Baru mahupun di Pandan yang dipenuhi puluhan ribu orang. Mereka bukan hanya datang dari ibu negara, tetapi dari seluruh ceruk rantau. Tidak lain, mereka mahukan keadilan.

Kira-kira jam 9.40 pagi, mahkamah membebaskan Anwar.

Berita itu segera sampai ke mana-mana sahaja melalui twitter, SMS bahkan facebook. Selain saya yang mengiringi saudara Anwar, turut bersama di dalam kamar mahkamah ialah anak-anak, menantu, saudara terdekat, pemimpin Keadilan dan Pakatan Rakyat . Ya! Tidak ada yang lebih menggembirakan apabila Hakim membacakan keputusan bahawa suami saya tidak bersalah.

Tanpa saya sedari, saya menitiskan air mata. Terasa seperti duka di badan dan jiwa pun terlerai. Rupa-rupanya ramai lagi yang diluar kamar mahkamah juga berlinangan air mata. Ucapan syukur dan tahniah menderu saya terima dari penyokong dalam dan luar negara.

Tidak sampai setengah jam keputusan itu diumumkan, satu persatu letupan di luar mahkamah kedengaran. Beberapa hari sebelumnya, ada pihak bersuara garang menentang perhimpunan kami. Mereka mendakwa akan membawa sekitar dua ribu penyokong untuk ‘berhadapan’ dengan “penyokong Anwar”. Ternyata hanya hadir sekitar 50 orang sahaja. Sudah beberapa kali tokoh tertentu itu bercakap besar, bahkan bernada ugutan untuk menimbulkan rasa tak tenteram menjelang perhimpunan aman.

Lima peserta perhimpunan cedera terkena ledakan tersebut. Di samping mengutuk perbuatan memasang bahan letupan berkenaan, saya mendesak agar pihak polis segera menyelesaikan kes ini agar tidak ada sesiapa lagi yang boleh mengugut untuk mengucar-kacirkan perhimpunan aman. Kewibawaan polis juga wajar dikembalikan agar wujud persepsi buruk bahawa polis ‘bersekongkol’ dengan perbuatan terkutuk berkenaan.

Alhamdulillah, satu lagi ujian berat berjaya ditempuhi. Keputusan tersebut sangat penting, lebih-lebih lagi tatkala Pakatan Rakyat khasnya bakal mengadakan Konvensyen kali ke-3 di Alor Setar, Kedah.

Rupa-rupanya, dengan cabaran sebenar ini, rakyat semakin bersemangat. Ribuan menghadiri konvensyen yang cukup berjaya. Tekad untuk membesih dan membebaskan rakyat daripada belenggu Umno [sebuah parti yang sudah berkuasa terlalu lama di Malaysia terasa meluap-luap. Lihat sahaja bagaimana hampir 80 ribu menghadiri ceramah Pakatan pada malam selepas konvensyen.

Nampaknya negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan, sukar untuk dirampas Umno-BN. Selepas konvensyen ini, fokus dan destinasi kita seterusnya tidak lain tak bukan ialah Putrajaya. Bersama rakyat, kita tidak boleh menangguh lagi untuk menyelamatkan Malaysia dengan palbagai kepincangan, terutama apabila berbilion ringgit dilapor mengalir ke luar negara secara haram.

Saya tak fikir penguasa insaf, walaupun selepas pembebasan saudara Anwar. Media perdana semakin kemaruk dan sasau dengan cuba mengaitkan saudara Anwar dengan kegiatan tak bermoral. Memang di mana-mana di dunia, rejim kuku besi akan cuba mencemar musuh politiknya dengan fitnah yang terkait kegiatan seksual yang kotor. Kini, strategi sama masih gunakan walaupun selepas 14 tahun tanpa ada tanda-tanda dihentikan.

Hanya rakyat yang akan menghentikan politik kotor ini. Caranya dengan menyokong Pakatan untuk sampai ke Putrajaya. Sekaligus untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh!

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Dari Meja Presiden. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s