Dari meja Presiden : Umno Di Hujung Nyawa

Beberapa bulan sebelum Husni Mubarak ditumbangkan, beliau telah memberikan ucapan yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen. Seluruh rakyat Mesir mendengar seruan agar anak-anak bangsa Mesir bersatu untuk mempertahan dan membangunkan negara. Pada ketika yang sama, kemaraan rakyat di dalam siri demonstrasi sudah sampai di Medan Tahrir; mustahil mampu dihentikan dengan seruan, meskipun melalui siaran langsung. Semakin hari semakin marak.

Kita tahu, akhirnya Husni Mubarak tumbang jua. Rakyat tidak lagi mahu mendengar seruan-seruannya. Amanah yang diberikan selama lebih 30 tahun, dikhianati. Pada era Husni Mubarak di Mesir, yang kaya-raya hanya elit yang berkuasa sementara nasib rakyat marhaen tidak banyak berubah.

Seraya itu, hujung minggu lalu rakyat Malaysia pula diasak agar mendengar ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, juga melalui siaran langsung di media utama. Ucapannya mirip Mubaraq; menyeru anggota Umno “mempertahankan Umno” di dalam pilihanraya akan datang. Secara tidak langsung slogan “mempertahankan Umno” telah memberi makna mempertahankan segelintir elit Umno yang berkuasa; sama sekali bukan untuk mempertahankan orang Melayu. Ya, apakah lebih 50 tahun tidak cukup untuk elit Umno membela nasib Melayu?

Saya tidak percaya sama sekali, orang-orang Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur percaya bahawa Umno akan mempertahankan hak mereka sedangkan tanah rezab Melayu itu pun mahu digadai. Saya tidak percaya orang-orang Melayu di Felda-felda masih percaya Umno akan mempertahankan nasib mereka apabila begitu banyak kes penipuan yang diabaikan pemimpin tertinggi.

Begitu juga anak-anak muda Melayu di universiti, yang beratus ribu jumlahnya, hak mereka untuk mendapat biasiswa juga hampir tiada lagi tatkala anak menteri hidup mewah luar biasa.

Retorik bahawa hanya Umno yang mampu mempertahankan Melayu adalah cakap-cakap lapuk dan omong kosong. Persidangan Agung parti itu kelmarin jelas sekali digunakan hanya untuk melepaskan geram, memaki-hamun, mengherdik dan mencerca Pakatan Rakyat, termasuk Keadilan. Banyak ketika, herdikan dilihat seperti mahu menutup onar yang berlaku di kalangan pimpinan mereka.

Meskipun begitu, desakan agar menteri Umno yang tercalar “projek lembu” untuk meletakkan jawatan bukan hanya datang daripada Pakatan Rakyat, bahkan dari pemimpin Umno sendiri. Di mana pun di dunia, pemimpin wajar menggalas tanggungjawab dengan telus dan berakauntabiliti. Melepaskan semua jawatan bukan bermakna terlepas daripada kesalahan dan prinsip moral itu.

Natijahnya, kini rakyat mula sedar dan berbicara bahawa pemimpin Umno laksana pesakit di hujung nyawa. Mereka jadi tidak karuan. Tidur mereka, walaupun di hotel dan rumah mewah, terganggu oleh mimpi akan kehilangan kuasa.

Najib sendiri mengakui, perhimpunan partinya itu adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya umum. Bayangkan sahaja hanya beberapa bulan lagi, mereka bakal kehilangan segala-galanya. Seperti juga Husni Mubarak, yang sangat mereka takuti adalah kelak terbongkar skandal-skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan kala berkuasa.

Dengan kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sekalipun, satu demi satu skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa terbongkar. Bagaimana seandainya elit Umno hilang kuasa di Putrajaya? Pasti lebih mendebarkan. Belum reda dengan kes lembu, kini terbongkar pula rasuah RM25 juta yang dikatakan dibayar oleh sebuah syarikat dari Switzerland kepada seorang mantan Menteri Besar Perlis.

Bayaran suapan itu dikatakan berlaku tatkala mantan Menteri Besar berkenaan berkuasa dari 1986 hingga 1995. Beliau dikatakan membantu syarikat Alstom dari Switzerland untuk mendapat kelulusan membina loji tenaga eletrik pada penghujung 90-an. Skandal terbaru ini didedahkan oleh sebuah akhbar di Singapura penghujung minggu lalu.

Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia. Syarikat Alstom dilaporkan didenda lebih RM128 juta oleh Jabatan Peguam Negara Switzerland atas kesalahan menyogok Menteri Besar berkenaan. Andai negeri sekecil Perlis pun berlaku rasuah puluhan juta, bagaimana di negeri-negeri lain yang lebih besar dan kaya berbanding Perlis?

Inilah sebabnya kuasa elit Umno perlu dipertahan! Seperti juga Husni Mubarak, mereka memainkan sentimen bangsa dan agama. Namun rakyat dan umumnya orang-orang Melayu tidak dangkal. Hanya satu bahasa yang akan difahami oleh golongan perasuah ini, iaitu tumpaskan mereka di dalam gelanggang pilihanraya akan datang. Terselamatlah negara.

Dr Wan Azizah Ismail

This entry was posted in Dari Meja Presiden, Demokrasi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s