Dari meja Presiden : Ketika Johor Jadi Saksi Keruntuhan Sebuah Keangkuhan

Johor Darul Takzim—negeri terkuat dan kubu Umno; lebih sinonim dengan jolokan Johor Darul Umno kerana di sanalah UMNO ditubuhkan. Syukur kerana hujung minggu lalu, Keadilan sekali lagi berjaya melakar sejarah apabila mengadakan Kongres Nasional Tahunan ke 8 dan negeri Johor menjadi pilihan. Sesungguhnya pemilihan Johor sebagai lokasi Kongres bukan satu kebetulan. Johor kita pilih dengan membawa bersama satu misi dan harapan yang besar.

Sebagaimana dijangka, bukan mudah Johor mahu menerima kita sebagai tamu. Tidak ada tempat yang sudi atau lebih tepat lagi, yang berani menyewakan premis mereka kepada kita. Alhamdulillah, berkat usaha gigih sekretariat yang berbekalkan misi besar maka dapat juga kita menggunakan Pulai Spring Resort. Itupun terpaksa menempuhi puluhan sekatan jalanraya sebelum boleh tiba ke lokasi.

Perwakilan dan pemerhati datang dari seluruh negara. Rata-rata yang datang ke Kongres adalah rakyat biasa. Mereka bukan elit penguasa yang kaya raya. Telah kita saksikan, ibu-ibu dan orang-orang tua yang berjalan kaki di tengah-tengah perit mentari untuk sampai ke dewan Kongres. Cuaca panas yang ada ketikanya disulami renyai telah mencatat sejarah dan menguatkan lagi tekad untuk menawan negeri kubu Umno itu.

Kongres telah menyaksikan perbahasan terbuka di peringkat akar umbi; penuh dengan cadangan dan tidak sepi juga dengan kritikan. Insaf dengan hakikat bahawa parti dan pimpinan juga mempunyai kelemahan, maka semua kritikan kita hadam sebaiknya. Mengakui kelemahan sesungguhnya adalah kekuatan.

Atas sebab itu jualah, pimpinan tertinggi berterima kasih dengan teguran ikhlas anggota dan aktivis peringkat bawahan. Tekad kita menawarkan tokoh dan calon berwibawa dan kental jatidiri. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, sehingga ada yang terpilih, namun akhirnya mengkhianati perjuangan. InsyaAllah, kita sama-sama belajar daripada pengalaman lalu.

Kongres juga telah menguatkan iltizam kita untuk memperkukuh Pakatan Rakyat. Pengalaman dan ujian mentadbir lima negeri bersama Pas dan DAP adalah persiapan untuk menjejak kaki ke Putrajaya. Kekuatan inilah yang tidak ada pada Umno yang memerintah selepas lebih 50 tahun. Keangkuhan mereka sudah tidak ada ubatnya.

Keangkuhan UMNO telah menjadikan parti komponen lain di dalam Barisan Nasional (BN) terkulai lesu dan sudah tidak boleh dibaikpulih. Meskipun Umno semakin angkuh namun hakikatnya UMNO tidak boleh kekal berkuasa bersendirian. Buktinya jelas bilamana keangkuhan UMNO telah kita robek apabila dengan bergaya kita tembusi kubu mereka; Johor Darul UMNO. Kita yakin selepas 27 November 2011, apabila kita meninggalkan Dewan Utama Pulai Spring dengan laungan keramat “Reformasi”, Umno Johor bukan seperti sebelumnya. Tembok keangkuhan mereka berjaya kita runtuhkan dan yang lebih penting lagi Keadilan telah membuka lembaran baru politik Malaysia di atas keruntuhan tersebut.

Kini Johor pun menjadi saksi. Tidak mungkin Keadilan dapat menembusi negeri terkuat dan kubu Umno itu seandainya baru semalam Keadilan bertapak. Barang diingat, Keadilan sudah pun berada di Johor selama mana Keadilan berada di negeri-negeri lain dan perjuangan untuk menggempur Johor sudah dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Benih yang mereka semai, kini tumbuh melata.

Kekuatan Keadilan dan Pakatan Rakyat di Johor terukur dengan bilangan sekatan jalanraya yang dilakukan pada setiap lokasi program yang kita rancangkan. Kehadiran ejen-ejen provokasi menggambarkan ketakutan mereka terhadap gerakan rakyat. Fenomena ini mengingatkan kita bagaimana ianya berlaku di negeri-negeri yang dahulunya berada di bawah Umno-BN. Namun, perlu dicatatkan juga pengalaman masa lalu apabila di mana negeri Keadilan mengadakan kongresnya, maka negeri berkenaan akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada lagi yang mustahil. Kekuatan Keadilan sesungguhnya berganda berbanding ketika menghadapi PRU yang lalu. Sejarah perjuangan rakyat Johor, terutama di dalam menghadapi pelbagai rintangan politik sejak sebelum merdeka adalah bukti bahawa watan Johor juga boleh melakukan perubahan; apabila tibanya kesedaran bahawa hak-hak dan pengharapan mereka sekian lama telah dikhianati Umno.

Gong telah dipalu. Langkah kanan sudah kita mulakan. Kini, hanya masa yang akan menentukan. Saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan kepada anggota, aktivis dan petugas di pejabat Setiausaha Agung; Majlis Perhubungan Keadilan Negeri Johor yang menyediakan tempat dan menjayakan kongres kali ini serta seluruh rakyat Johor yang muncul bagaikan ombak untuk benar-benar memberi semangat dan harapan baru. Kepada Pulai Spring Resort, tahniah kerana anda mampu menongkah arus untuk kekal professional.

Percayalah, mentari sedang terbit di hadapan kita.

Dr Wan Azizah Ismail

This entry was posted in Dari Meja Presiden, Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s