Dari Meja Presiden : Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Keadilan Ekonomi

Saya masih ingat, bagaimana saudara Anwar Ibrahim menitipkan pesan dari sebalik dinding penjara ketika beliau terdekam di Penjara Sungai Buloh, agar Keadilan khususnya segera bertegas dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan dan memartabat Bahasa Kebangsaan.

Apa yang diusulkan tidak lain adalah demi menjamin kepentingan rakyat dan berlandaskan semangat Perlembagaan serta dasar pendidikan negara. Usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris juga perlu terus dilakukan melalui matapelajaran khususnya sastera dan latihan lainnya.

Kita tidak menafikan ketika tanahair ini merdeka, bahasa rasmi bagi Persekutuan Tanah Melayu ada dua, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Namun, di dalam Perlembagaan menyebutkan bahawa dalam tempoh sepuluh tahun selepas merdeka, penggunaan bahasa Melayu harus beransur-ansur mengambil tempat sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dalam masa sama, kelompok nasionalis yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah mengadakan tiga kali Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, iaitu pada Ogos 1952 di Singapura; Januari 1952 di Seremban dan September 1956 di Johor Bahru. Daripada tiga kali kongres itulah, maka ditulis satu rumusan terperinci berupa memorandum yang diserahkan untuk penelitian ke bawah “Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Ratu” di England.

Antara hujahnya ialah, adalah tidak munasabah untuk mewujudkan keadilan ekonomi sekiranya bahasa asing dijadikan bahasa rasmi kelak apabila lebih 90 peratus penduduk di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu menggunakan bahasa Melayu.

Malah daripada kajian beberapa pakar di dalam buku “Memoranda” oleh Angkatan Sasterawan 50 terbitan tahun 1962, juga membuktikan bahawa hanya 1 peratus sahaja kelompok yang menggunakan bahasa Inggeris. Dikhuatiri bahawa kekayaan negara ini kelak, andai bahasa asing dijadikan bahasa kebangsaan, akan dibolot dan dikawal oleh “golongan 1 peratus” ini. Masyarakat terbanyak, iaitu lebih 99 peratus (termasuk yang menggunakan bahasa Tionghua dan Tamil selain bahasa Melayu) akan berterusan tidak mendapat ruang bersaingan yang adil.

Antara kenyataan di dalam memorandum berkenaan berbunyi, “… dalam keadaan bahasa Melayu, Tionghua dan Tamil diabaikan dan dibiarkan mencari untung nasibnya sendiri di dalam hutan-hutan politik yang liar, maka kemajuan politik Tanah Jajahan ini tak dapat tidak condong kesebelah untuk memberatkan satu golongan kecil.”

Ternyata makna keadilan telah dijadikan teras kepada perpaduan bangsa selepas merdeka dan bukannya khayalan bahawa bahasa asing dengan mudah tanpa penguasaan yang baik akan memajukan anak watan. Tak ada kemajuan tanpa keadilan, sementara negara-negara maju di dunia hari ini seperti Jepun, China, Korea Selatan, Perancis, Jerman kesemuanya menggunakan bahasa masing-masing sebagai “bahasa ekonomi” dan “bahasa kemajuan”.

Alhamdulillah, suara dan perjuangan Keadilan untuk memartabat Bahasa Kebangsaan dan meningkatkan penguasaan bahasa luar termasuk juga dalam masa menyisihkan Bahasa Inggeris semakin disedari pemerintah terutama dalam cabaran dan persekitaran global. Bahasa Kebangsaan kini bukan sahaja untuk orang Melayu, namun telah menjadi bahasa semua warganegara Malaysia.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

This entry was posted in Dari Meja Presiden, Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s