Dari Meja Presiden : Pagar Universiti Bukan Penjara

Sehari sebelum peringatan hari Hartal, 20 Oktober lalu; Profesor Dr Abdul Aziz Bari digantung tugasnya daripada mengajar di Universiti Islam Antrabangsa (UIA). Notis itu dipercayai dikeluarkan antara lain adalah susulan laporan dan siasatan polis terhadap Dr Abdul Aziz berhubung kenyataan bidang kuasa sultan dan raja-raja dari sudut Perlembagaan.

Terdengar pula di dalam sesi perbahasan Belanjawan 2012 di dalam Dewan Rakyat sepanjang minggu lalu, ada anggota dewan daripada pihak kerajaan mencadangkan agar ditarik balik gelar profesor kepada Dr Abdul Aziz. Ini sama sekali bukan hujah dan tak lebih hanya kata-kata yang cuba memperlekeh seorang ilmuan yang tampak dalam banyak isu telah berpihak kepada kebenaran dan rakyat.

Tidak sampai 24 jam selepas surat pengantungan dikeluarkan, mahasiswa khususnya dari UIA sendiri berhimpun menyatakan bantahan. Sekelip mata, dilaporkan hampir seribu orang yang berkumpul. Sepanjang ingatan saya selama era Reformasi sejak 1998, belum pernah perhimpunan membela seorang pensyarah yang sebegitu pantas dan berjaya diadakan di dalam pagar mana-mana universiti.

Dua tuntutan dikemukakan. Pertama, menuntut jaminan kebebasan akademik di universiti; dan kedua, kembalikan semula Dr Abdul Aziz ke dalam kamar kuliah. Pergantungan Dr Abdul Aziz telah menjejaskan tak kurang 100 siswa-siswi dari peringkat sarjana muda sehingga ke PhD yang berada di bawah tanggungjawab beliau.

Tindakan berupa tekanan terhadap Dr Abdul Aziz tertimpa tatkala pelbagai isu genting berbangkit sebelum ini yang turut mendapat perhatian golongan ilmuan seperti isu sejarah kemerdekaan, hudud dan murtad bahkan meliputi isu kuasa raja-raja Melayu. Tidak beberapa tahun lalu, tekanan seumpama juga pernah tertimpa ke atas Dr Jomo K Sundram di Universiti Malaya (UM).

Sikap pentadbir universiti, yang sering berselindung di bawah AUKU dan tunduk kepada tekanan politik jelas sekali telah menyebabkan tahap akademik merudum. Hari ini, tak ada satu pun universiti di Malaysia yang tersenarai di antara 200 universiti terbaik Asia, apatah lagi di dunia.

Tidakkah ini memalukan? Apakah boleh dipersalahkan sebahagian besar pensyarah mahupun mahasiswa tatkala akal bijak mereka dikacip dan dikongkong dengan kongkongan politik? Pagar universiti sama sekali bukan penjara akal.

Mungkin kebetulan sahaja kebanyakan isu-isu berbangkit mutakhir ini harus dilihat dari sudut perlembagaan. Dr Abdul Aziz menjadi antara sosok ilmuan yang sering memberikan pandangan setiap kali timbul isu-isu rumit, yang tidak boleh dikomen hanya dari sudut politik kekuasaan semata-mata.

Peranan seperti yang dimainkan oleh Dr Abdul Aziz serta beberapa tokoh lainnya merupakan kewajaran sebagai “cendiakawan awam” atau “public intellectual”. Golongan ini telah melaksanakan tanggungjawab keilmuannya di tengah-tengah masyarakat dengan tak hanya berlegar di dalam pagar universiti sahaja.

Amalan dan tradisi sedemikian, bukan asing sama ada di Barat mahupun di dalam tradisi Islam. Di Barat dan Eropah sekalipun, kita pernah mendengar nama seperti Edward Said dan kini Tariq Ramadan yang memainkan peranan begitu aktif sebagai cendiakawan awam di samping kegiatan akademik mereka. Mereka bukan hanya bercakap dengan retorik politik, tetapi mengemuka fakta demi fakta.

Lebih membanggakan apabila tradisi sedemikian bukanlah asing di Malaysia. Kita pernah ada beberapa nama cendiakawan yang memain peranan langsung di dalam lapangan politik seperti Profesor Dr Syed Hussein Alatas, malah mantan Timbalan Presiden Keadilan sendiri, iaitu Dr Syed Husin Ali juga terkenal di kalangan akademik. Nama-nama besar ini bukan sahaja harum di universiti, tetapi turut melibatkan diri di dalam kemelut politik dan masyarakat secara langsung.

Inilah ciri-ciri politik baru yang sedang berkembang di Malaysia. Sewajarnya rakyat dapat menilai, bagaimana politik yang berteras ilmu dan moral sedang bertarung dengan politik usang yang berasaskan tohmahan dan fitnah. Sungguh memalukan tatkala timbulkan isu pemecatan Dr Abdul Aziz, di pihak elit Umno mereka bergelumang dengan fitnah ke atas anak remaja Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Begitu kata bidalan orang tua-tua, tak dapat tanduk telinga dipulas. Demi mencemar maruah bapa, anak yang tak berdosa diseret sama.

Sehebat mana pun sesebuah kerajaan itu, tatkala golongan ilmuan takut-takutkan dan dihukum; ketika fakta diganti dengan fitnah, maka tunggulah sahaja hari di mana pemerintah itu akan runtuh dan hancur. Begitulah hukum yang kita saksikan di sepanjang sejarah peradaban manusia.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL 

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Dari Meja Presiden, Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s