Dari meja Presiden : Pemaksaan Jajahan Tanah Kampung Baru

Kampung Baru adalah sebuah penempatan yang tujuan penubuhannya lebih 111 tahun lalu untuk mengimbangi pola antara kaum. Orang Melayu yang selalu dikaitkan dengan kehidupan luar bandar, tidak boleh dibiarkan ketinggalan di dalam pembangunan bandar, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur.

Dalam sesi Parlimen Disember tahun lalu, satu Rang Undang-undang yang dikenali sebagai “Perbadanan Pembangunan Kampung Baru” dibentangkan pertama kali di Parlimen; susulan rancangan pembangunan dan pemodenan Kuala Lumpur di bawah Rancangan Malaysia ke-9.

Dengan keluasan sekitar 250 ekar atau gabungan tujuh kampung di dalamnya, nilai tanah Kampung Baru kini dianggar melebihi RM5 bilion. Ia lebih mahal waima berbanding dengan KLCC sekalipun.

Lubuk emas itu membuatkan segelintir orang tergiur. Tak terbayangkan bagaimana tergamaknya penguasa yang ada hari ini membentangkan akta yang dilihat akan hanya merugikan dan tak menjamin hak penduduk Kampung Baru dalam tempoh masa panjang.

Bila diteliti, pada awalnya antara yang tidak dibantah penduduk ialah cadangan mewujudkan sebuah perbadanan dengan menterinya mempunyai kuasa muthlak sehingga tidak boleh dicabar di mahkamah. Bukankah fasal ini menunjukkan satu bentuk “penjajahan” sepertimana strategi Inggeris di dalam Perjanjian Pangkor, 1874 dahulu? Lalu, tak ada ertinya untuk mewujudkan sebuah majlis penasihat di kalangan penduduk kalau mereka tidak punya apa-apa kuasa.

Pada permulaan sesi Parlimen, Isnin 3 Oktober lalu, kerajaan menarik balik rang undang-undang berkenaan untuk bacaan kali kedua, tetapi membentangkannya semula dua hari kemudian iaitu pada 5 Oktober sebelum dipaksa lulus pada sebelah malam hari yang sama. Dengan tempoh singkat dan sekelip mata, tidak ada apa yang dapat dilakukan untuk dibahaskan secara terperinci.

Meski pun ada pindaan mengenai batas kuasa perbadanan yang dicadang kerajaan, namun akta yang dipinda itu juga tak menjamin hak milik tanah penduduk dan waris mereka; terutama kepada mereka yang tak bersetuju untuk menyerahkan tanah kepada sesiapa pun, termasuk kepada pihak kerajaan. Hak pemilikan tanah adalah perkara pokok yang tidak tuntas diselesaikan ketika rang undang-undang tersebut kini dalam bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Ikhtiar yang dimiliki Pakatan Rakyat kini ialah memohon perkenan kepada bawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong dan paduka Sultan Selangor agar menolak rang undang-undang tersebut demi hak dan nasib penduduk yang di bawah naungan ke bawah duli Tuanku.

Sebagai ingatan, soal tanah rezab Melayu seperti Kampung Baru adalah antara “hak istimewa orang Melayu” yang termaktub di dalam Perlembagaan. Sepertimana di negeri-negeri, pertukaran tanah rezab tersebut hanya boleh dilakukan dengan majoriti dua-pertiga anggota dewan. Lebih penting, ia harus mendapat persetujuan lebih awal daripada penduduk atau tuan punya tanah itu sendiri.

Semua proses ini tidak dilakukan secara telus dalam kes Kampung Baru. Referendum atau pungutan suara yang dilaksanakan juga tidak membayangkan pandangan majoriti penduduk tetapi Putrajaya tetap mahu memaksakan pelan pembangunan mereka dengan menggunakan saluran parlimen.

Ketika hayatnya sebagai anggota Parlimen Titiwangsa, allahyarham Dr Lo’Lo’ Gazali telah memain peranan penting bagi menubuhkan Sekretariat Kampung Baru. Tujuannya ialah untuk mendengar dan mengambil pandangan terus daripada penduduk sendiri.

Kita insafi bahawa penduduk Kampung Baru tidak mahu kehilangan hak apatah lagi tanah mereka sehingga keputusan menteri kelak tak boleh dicabar sama sekali. Anak-anak Kampung Baru juga ramai yang berjaya dan bergelar profesional dan tak ada sebab untuk golongan ini disisihkan dalam usaha memajukan kampung halaman mereka sendiri.

Tekad Pakatan Rakyat tidak lain adalah untuk membatalkan rang undang-undang tersebut sekiranya kita menang dan sampai ke Putrajaya dalam pilihanraya umum kelak, Inshaallah. Hanya itu cara yang ada untuk menyelamatkan Kampung Baru dan tanah-tanah rezab Melayu yang tersisa.

Dr Wan Azizah Ismail

This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Pakatan Rakyat, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s