Dari Meja Presiden : Belanjawan Antara Dua Darjat

Izinkan saya gunakan “belanjawan” dan bukannya “bajet” sebab memang itulah istilah di dalam bahasa Melayu.
 
Kini rakyat boleh membandingkan kedua-dua belanjawan sama ada belanjawan oleh Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Belanjawan Pakatan Rakyat dibentangkan dua hari lebih awal daripada belanjawan kerajaan.
 
Perbezaan asas ialah jumlah yang diperuntukkan di dalam Belanjawan PR sebanyak RM220 bilion, sementara Belanjawan BN sebanyak RM232.8 bilion: maknanya, wang yang akan dibelanjakan oleh BN adalah RM12.8 bilion lebih besar daripada Pakatan Rakyat.
 
Jumlah lebih tinggi ini sahaja menunjukkan betapa tidak bijaknya pemerintah merancang perbelanjaan ketika defisit dan hutang negara kekal besar. Kalau kita mempunyai pendapatan sepuluh ringgit, tetapi dibelanjakan sampai lima belas ringgit; maka itulah namanya “defisit”. Keadaan perbelanjaan melebihi pendapatan sudah berlarutan selama 14 tahun, atau lebih tepat lagi, selepas krisis ekonomi 1998.
 
Sejak dua tahun lalu, kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang berjaya membentangkan belanjawan seimbang selepas setahun mengambil-alih daripada BN. Apa yang dimaksudkan sebagai “belanjawan seimbang” ialah, jumlah perbelanjaan sama dengan jumlah pendapatan. Kesemua kerajaan-kerajaan negeri di bawah Umno-BN terus mengalami kemelut belanjawan defisit sepertimana kerajaan persekutuan.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meramalkan defisit negara susut daripada 5.4 peratus tahun ini kepada 4.7 peratus tahun hadapan. Walaupun susut, Pakatan Rakyat menyasarkan desifit lebih rendah, iaitu pada kadar 4.4 peratus. Dengan memperuntukan RM220 bilion, sasaran utama kita ialah peningkatan 20 peratus nilai tambah kepada keupayaan ekonomi rakyat.
 
Tak ada gunanya peruntukan lebih besar andai tahap hutang dan beban rakyat juga meningkat teruk. Atas asas inilah, jumlah berbilion ringgit yang dijanjikan Najib secara “one-off” tak akan dapat membantu secara berterusan.
 
Kita menyambut baik pemansuhan yuran bagi sekolah rendah dan menengah. Hal ini adalah antara yang diperjuangkan sekian lama oleh Keadilan. Wajar diingatkan, antara perjuangan Pakatan Rakyat bukan sahaja memberi pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah menengah, malahan ke peringkat univerisiti.
 
Apakah terlalu sukar untuk sejak sekian lama kerajaan mengapuskan yuran tersebut yang hanya berjumlah RM150 juta untuk tahun hadapan?
 
Jumlah berkenaan tidak lebih besar daripada projek membaiki sekolah yang pastinya akan dibolot syarikat tertentu yang diperuntukan sehingga RM1 bilion tahun hadapan. Golongan maha kaya (“super rich”) nampak terus dibantu termasuk di dalam projek Kedai 1Malaysia di bawah program yang dikenali sebagai Tranfomasi Kedai Runcit” (TUKAR). Projek ini memperolehi tambahan peruntukkan sebanyak RM40 juta di samping peruntukan sedia ada sebanyak RM70 juta tahun ini.
 
Kita sedari, kedai-kedai runcit 1Malaysia itu hanya diberikan kepada pemain-pemain besar di dalam industri peruncitan dan bukannya kepada peniaga kecil. Dalam masa sama, peruntukan langsung kepada kontraktor kecil dan sederhana juga susut sehingga RM300 juta ialah daripada RM500 juta tahun ini kepada hanya RM200 juta tahun hadapan.
 
Kenyataan inilah antara bukti apa yang disebut sebagai “gula-gula” di dalam belanjawan Najib pada Jumaat lalu. Masakan tidak, banyak sekali taburan wang dibuat hanya dengan sekali bayar atau “one-off” sahaja. Pakar-pakar meramalkan, selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, kerajaan akan kembali meningkatkan beberapa keperluan asas.
 
Peningkatan tersebut hanya ditangguh sementara mereka mahu menampakkan diri berbaik-baik untuk meraih undi. Beginilah lazimnya sifat bangsawan yang berkuasa yang barangkali seperti yang ditunjukkan di dalam kisah “Laila dan Majnun”. Mereka seolah-olah menabur wang dari beranda mahligai ketika ada kepentingan. Demikian sikap yang menganggap diri sebagai tuan kelas atasan dan derajat rakyat sebagai abdi yang boleh dibeli.
 
Diunjurkan dan dijangka bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia mencecah 5 hingga 6 peratus. Kenyataannya sepanjang Rancangan Malaysia ke-8 dan ke-9, semua jangkaan tersebut meleset. Ada rekod di mana unjuran dijangka 5-6 peratus, tetapi akhirnya meleset sehingga -1 peratus! Institusi utama kewangan Asia seperti Bank Pembangunan Asia mengunjurkan KDNK Malaysia bagi tahun ini hanya 4.8 peratus berbanding 6 peratus yang dikemukakan oleh PM. Angka-angka hebat tapi palsu ini diwujudkan tidak lain untuk mewujudkan rasa selesa kalangan rakyat.
 
Betapa pun gahnya angka-angka yang diunjurkan, akhir kepada pertumbuhan ekonomi adalah kesejahteraan rakyat. Berbeza dengan Belanjawan PR, disamping iltizam untuk memacu dan memperbesarkan saiz kek ekonomi; kesemua skim dan inisiatif yang ditawarkan bukanlah bersifat sementara.
 
Sebagai contoh, bayaran bonus kepada warga emas dan suri rumah yang layak sebanyak seribu ringgit adalah kekal dan bukan dibuat hanya sekali bayar atau “one-off” untuk tahun hadapan sahaja. Turut dibimbangi seperti tahun-tahun lalu, dalam tiga bulan kerajaan akan membentangkan usul untuk meminta tambahan peruntukan akibat poket sudah kering.
 
Ini adalah belanjawan terakhir sebelum pilihanraya, bayangkan azab yang akan ditangung rakyat andai Umno-BN terus menang dan memerintah selepas PRU ke-13 nanti… Pilihannya jelas iaitu kita harus sama-sama menyelamatkan negara daripada terus terjerumus dalam kemelut ekonomi yang tak berpenghujung ini.

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Pakatan Rakyat, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s