Dari meja Presiden :Pengkhianatan Terhadap Melayu dan Bumiputera

Tidak wujud istilah “Ketuanan Melayu” di dalam Perlembagaan Persekutuan. Istilah itu datang dan diciptakan dari perasaan tidak yakin diri penguasa dan orang-orang yang mahu meraih keuntungan dengan cara mempertahankan status quo. Istilah inilah yang dijadikan senjata ampuh selama ini yang kini nampaknya sudah mulai tumpul apabila rakyat sudah mula mengenali watak-watak hipokrit bilamana melafaskannya.

Di bawah Perkara 153 Perlembagaan, yang disebutkan ialah “kedudukan istimewa orang Melayu”. Di bawah fasal sama ditekan dan diingatkan akan kepentingan sah kaum-kaum lain wajib dipelihara.

Ini bermakna, tumpuan atas nama “kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera” sepertimana digariskan Perlembagaan adalah dengan matlamat untuk memastikan agar Melayu dan Bumiputera (sebagai kaum asal di negeri ini) tidak terabai. Berbeza dengan laungan “Ketuanan Melayu” (atau “Malay Supremacy”) yang sekaligus memberi pengertian menekan atau menindas kaum-kaum lain atas nama Melayu dan Bumiputera.

Persoalannya, di bawah jaminan dan payung Perlembagaan, bagaimanakah realiti nasib umat Melayu dan Bumiputera di Negara ini?

Agak mengejutkan apabila Datuk Seri Najib Razak (PM) di dalam ucapannya minggu lalu menyebutkan untuk mencabut dan menghapuskan kuota Bumiputera. Lebih mengejutkan lagi apabila beberapa hari kemudian, PM jadi kong kali kong, menafikan bahawa beliau ada berkata sedemikian. Seperti biasa media dikambinghitamkan lantas dituduh tersalah lapor.

Terhapus atau tidak kuota tersebut, hakikatnya hak-hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub di dalam Perlembagaan telah begitu banyak terhakis. Misalnya kepada tiga perkara utama iaitu berkenaan tanah rezab Melayu; pemberian biasiswa serta lesen dan permit perniagaan. Ketiga-tiga perkara ini jelas dijamin di dalam Perlembagaan.

Kerajaan bertanggungjawab memastikan agar ianya dipelihara dan dilaksana. Tanah Rezab Melayu dan Bumiputera tidak boleh sesuka hati diambil atau digalang-ganti. Demikian KEADILAN mendengar keluh resah dan kekecewaan penduduk Kampung Baru di ibu negara yang bimbang tanah warisan mereka akan tergadai kesan dari projek pembangunan kerajaan.

Hasil perjuangan tersebut, kerajaan memutuskan untuk membatalkan hasrat membentang pindaan Rang Undang-undang Kampung Baru apabila Parlimen mula bersidang Isnin lalu. Langkah ini disambut baik, namun ia tidak bermakna Tanah Rezab Melayu terselamat. Di peringkat negeri pula, Tanah Rezab Melayu boleh terhapus dengan sokongan dua-pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri. Namun hal itu harus mendapat persetujuan daripada penduduk terlebih dahulu.

Begitu juga halnya apabila kita mengenang nasib para peneroka tanah-tanah rancangan Felda. Ada yang terpedaya sekian lama sehingga lebih 15 tahun lamanya. Kini kita menyaksikan ribuan kes saman terhadap Felda difailkan. Warga Felda mulai bangkit mempertahankan hak mereka. Bahkan peneroka mulai mendapat ganti-rugi daripada penyelewengan gred buah kelapa sawit mereka. Ironinya, peneroka Felda ini seratus peratus adalah orang Melayu.

Begitu juga nasib anak-anak muda Melayu dan Bumiputera yang mana hak mereka untuk mendapatkan biasiswa termaktub di dalam Perlembagaan. Hakikatnya hari ini, biasiswa telah begitu jauh dari capaian mereka dan hampir tidak wujud lagi.

Satu dekad telah berlalu apabila skim biasiswa hampir digantikan sepenuhnya dengan pinjaman siswa. Hutang di bawah PTPTN pula kini bernilai lebih RM40 ribu juta, iaitu satu jumlah yang sangat menakutkan dan pasti akan terus bertambah tahun demi tahun. Apabila hak di kesampingkan dan akhirnya dinafikan, maka berlakulah pengkhianatan.

Begitulah juga pengkhianatan di dalam pemberian permit dan lesen perniagaan yang berpanjangan begitu lama. Tidak ternampak langsung usaha yang dilakukan PM bagi menyelesaikan kemelut pemberian permit dan lesen perniagaan. Malah sudah menjadi pengetahuan umum, permit teksi dan bas, bahkan pemberian permit pengimport kenderaan (AP) dibolot segelintir kecil, termasuk elit Melayu yang rapat dengan pemerintah.

Bukankah ini penyelewangan dan pengkhianatan terhadap semangat dan maksud “hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera”? Kalau bukan “pengkhianatan” namanya, apakah terma yang harus dipanggil di atas kecuaian dan perbuatan tersebut?

Agaknya selepas kegagalan inilah, maka diciptakan slogan bukan-bukan seperti “Ketuanan Melayu” untuk terus memainkan sentimen orang-orang Melayu ketika penguasa hanya memperkayakan kelompok elit, taulan dan kenalan sehingga jurang kaya miskin di kalangan Melayu- Bumiputra sendiri kian melebar. Inilah satu tragedi yang sangat menyedihkan.

This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s