Dari Meja Presiden: Bermula daripada 20 September

Setiap tahun, tarikh 20 September pasti tiba. Tarikh itu dikaitkan dengan perhimpunan dan demonstrasi besar di ibu kota, khususnya di Masjid Negara dan Dataran Merdeka. Dari sana bermulalah sebuah perjuangan untuk menuntut perubahan.

Saya secara peribadi, tidak boleh melupakan tarikh itu. Selepas perhimpunan besar pada sebelah petang, saudara Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar pada malamnya di rumah kami, di Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara.

Mungkin anak-anak muda ada yang kurang sedar, bahawa pada majlis yang dihadiri ribuan orang, polis Unit Tindak Khas (UTK) menyerbu rumah kami. Mereka lengkap dengan senjata api submachine dan bertopeng.

Saya menceritakan sebelum ini, bahawa pasukan UTK yang menangkap Anwar malam itu ada di antaranya adalah mantan pegawai pengiring beliau. Saya sendiri pernah menjamu mereka makan di rumah. Apabila menyerbu masuk, dengan cara ganas dan biadap, ada di antara mereka yang menitiskan air mata. Seperti tidak tergamak untuk menangkap Anwar. Apakan daya arahan harus mereka ikuti sahaja.

Minggu lalu, tarikh 20 September tiba lagi, empat hari selepas Hari Malaysia yang kita sambut saban tahun, iaitu pada 16 September. Bukan niat saya untuk mengenang dan mengungkit detik-detik hitam yang menimpa saya dan keluarga.

Namun, saya percaya tarikh itu akan kekal dalam sejarah perjuangan bangsa sebagai tarikh penting sehingga dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu, Pakatan Rakyat menang di empat negeri dan berjaya menafikan dua-pertiga kerusi Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat. Pencapaian ini tak pernah berlaku sebelum ini di dalam sejarah politik pilihanraya di Malaysia.

Kejayaan yang ditempa bukan tanpa pengorbanan. Apabila tercetusnya Reformasi ‘98, seruan perjuangan menjalar dengan begitu ramai orang yang tidak saya kenali telah menghulur tangan. Tidak lain yang mereka mahukan, kecuali ikhtiar untuk menegakkan keadilan demi masa depan Malaysia yang lebih baik. “Islah-mastata’tum” itu bermaksud melakukan perubahan ke arah kebaikkan. Bukan namanya “reformasi” atau “perubahan” andai semakin memburuk keadaan.

Peranan dan pengorbanan ramai orang, harus dihargai. Bukan sahaja yang kini bergelar “YB” dan berpangkat di dalam kerajaan yang dikuasai Pakatan Rakyat, tetapi jejak perjuangan ini meliputi ramai orang. Ada yang kehilangan kerja, ditekan perniagaan mereka, mencurah begitu banyak masa dan wang ringgit malah ramai juga yang terkorban untuk menjayakan agenda Reformasi.

Kita harus ingat, sepertimana nubuat yang pernah diucapkan saidina Ali kepada sahabatnya, Al-Ashtar, “Janganlah tingginya pangkat seseorang menyebabkan perbuatan kecilnya jadi besar dan sebaliknya janganlah pangkat rendah seseorang itu menyebabkan perbuatan besarnya dipandang kecil.” Reformasi adalah perjuangan tanpa mengira pangkat kedudukkan. Yang di atas jangan sombong, yang di bawah jangan pula lelah.

Di dalam politik kekuasaan, kemenangan pertama kita adalah kemenangan moral. Selama 13 tahun, kita berjaya mengharung getir perjuangan dengan kekuatan moral dan mempertahan idealisme. Sesiapa yang tidak mempunyai kekuatan ini, pasti tewas di tengah jalan. Keduanya, kekuatan yang kita miliki sekian lama ialah kepaduan idea dan gagasan.

Pemerintah memang tertinggal jauh dalam hal ini. Sebab itu semakin hari, dengan sendirinya mereka semakin tidak releven. Satu persatu program Keadilan dan Pakatan Rakyat, telah mereka tiru. Sudah sekian lama, mereka jadi parti yang menentang arus dan semangat zaman. Demikian pesan orang-orang tua, “jangan sampai menentang arus!”

Tarikh sama, tujuh tahun lalu Anwar dibebaskan dari semua tuduhan ke atasnya. Saya dan keluarga tentunya bersyukur dan gembira, walaupun Anwar terpaksa terdekam dalam penjara selama enam tahun tanpa apa-apa kesalahan. Malangnya, keadaan masih tidak berubah apabila fitnah tetap menjadi senjata pemerintah yang kalut dan takut kehilangan kuasa.​

Justeru tidak ada jalan lain untuk mengajar pelaku fitnah yang kini sedang berkuasa, kecuali dengan kesepaduan Pakatan Rakyat yang tidak mungkin diceraikan semata-mata dengan strategi kotor pemerintah. Dengan izin Allah beserta iltizam dan gagasan yang semakin disedari rakyat, dalam PRU akan datang, Pakatan Rakyat mampu sampai jua ke Putrajaya… dari rakyat dan demi rakyat.

Dr Wan Azizah Ismail

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s