Dari meja Presiden : Pemerintah Bertahan, Rakyat Menyerang

Saya masih ingat bagaimana pemimpin pembangkang kerap kali dituduh hanya tahu membangkang dasar kerajaan dan tidak berupaya mengemuka dasar mampan untuk kesejahteraan umum. Meskipun dituduh sedemikin, namun demi rakyat kita teruskan juga serangan terhadap dasar dan ketetapan yang mengekang rakyat; samada yang termaktub di dalam Perlembagaan mahupun hak mendapat kehidupan yang sejahtera. Kita yakin dengan perjuangan kita yang meletakkan kepedulian kepada rakyat mengatasi kepentingan individu, puak dan kelompok.

Hari ini, tuduhan tersebut terbukti meleset apabila rakyat saksikan satu persatu perjuangan, tuntutan dan buah fikiran Pakatan Rakyat diciplak pemerintah Umno-BN. Bukan sahaja langkah menghapuskan ISA seperti yang diumum Perdana Menteri 15 September lalu, tapi diciplak sehingga ke program hari tanpa beg plastik setiap Sabtu sepertimana yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat di Selangor.

Ketika Umno-BN semakin kering idea, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk menghapuskan ISA serta beberapa akta lain, tidak lebih hanya sebagai tindakan terdesak bagi memulihkan imej beliau yang tercalar teruk, terutama dalam isu menghadapi Perhimpunan Bersih Rakyat Malaysia Julai lalu. Bukan itu sahaja, ia juga jelas adalah lakonan politik kerana akta seperti ISA tidak boleh dihapuskan hanya melalui ucapan secara langsung di kaca TV. Sebaliknya, hal berkenaan harus dibawa dan dibentangkan di Parlimen dan perlu mendapat persetujuan dua-pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat.

Namun, pada saya isu yang lebih penting di sini ialah niat PM untuk memperkenalkan akta gantian yang  dipercayai lebih mencengkam kedaulatan rakyat negara ini. PM dilihat seolah-olah bermain silap mata dan mahu berjudi dengan kebebasan rakyat; jika akta baharu berjaya digubal, maka barulah ISA dimansuhkan. Jika benar bagai dikata bahawa PM mendengar tuntutan rakyat yang mahukan perubahan, kenapa tidak hapuskan sahaja akta drakonian ini tanpa ada pra syarat untuk memperkenalkan akta baru.

Selain itu tindakan PM yang dengan tiba-tiba mengumumkan penghapusan ISA hingga memeranjatkan seluruh kabinetnya, juga menimbulkan keraguan. Bagaimana PM membuat keputusan penting seperti ini tanpa terlebih dahulu membentangkannya di dalam kabinet hinggakan dua tiga hari ini kita melihat ramai pemimpin yang melatah? Tidak kurang pula yang terkedu dari kata-kata seperti Datuk Hishamuddin Hussein, menteri yang bertanggungjawab terus kepada ISA.

Seluruh kabinet menjadi gelanggang jenaka kerana sebelum ini mereka bermati-matian bergulung lidah untuk mempertahankan ISA, kini seorang demi seorang mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan PM. Ada pula yang lebih selangkah apabila dengan tanpa rasa malu, cuba membayangkan diri sebagai orang yang berjuang sekian lama untuk menghapuskan ISA.

Baru beberapa minggu lalu begitu ramai di antara mereka yang mendesak agar ada pemimpin Pakatan Rakyat ditahan di bawah ISA atas isu perhimpunan Bersih dan isu Mat Indera.

Begitu juga dengan Hari Malaysia yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. Pemimpin dan pejuang-pejuang veteren di dalam Keadilan seperti Dr Syed Husin Ali tanpa jemu sering memperingatkan akan pentingnya Hari Malaysia diberi penghormatan setara dengan Hari Kemerdekaan.

Hanya sejak 2 tahun lalu, pemerintah menjadikan Hari Malaysia sebagai sambutan kebangsaan dan memberikan cuti umum. Sebelum itu, selama lebih empat dekad, mereka langsung tak peduli dengan tarikh 16 September.

Pengiktirafan Hari Malaysia memang kita banggakan, namun Keadilan komited untuk mewujudkan kesepaduan nasional. Bukan sahaja di antara wilayah dan negeri-negeri di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sawarak.

Kita sangat insafi dan sedari, penyertaan kedua negeri berkenaan tidak lain adalah bermata air daripada gagasan pejuang kemerdekaan seperti Ibrahim Haji Yaacob, Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Ahmad Boestamam, misalnya.

Pertama kali gagasan ini diperjuangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan nama “Melayu Raya”, iaitu usaha untuk membebaskan semua wilayah-wilayah yang pernah dijajah Inggeris selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Hanya dengan cara itu maka penguasaan kuasa penjajah Barat dapat ditamatkan di Asia Tenggara selepas Indonesia merdeka lebih awal pada 1945 dari tatanan Belanda.

Tidak ada ertinya gabungan wilayah dan negeri ke dalam Persekutuan Malaysia jika hak negeri terabai. Keadilan tentunya tetap akan memulangkan sejumlah 20 peratus hasil petrolium kepada bukan sahaja Terengganu dan Kelantan, juga kepada Sabah dan Sarawak sebagai hasil bumi negeri berkenaan. Hal ini merupakan langkah awal untuk memperkukuh kesepaduan dengan berkesan.

Keadilan bukan berjuang hanya untuk melemparkan buah fikiran kepada elit Umno-BN yang kekeringan idea apabila semakin banyak penetapan di dalam Buku Jingga yang mereka tiru. Apa-apapun, adat berjuang, jika satu-satu pasukan itu telah mula menciplak idea lawan, ini adalah petanda kepada bibit-bibit kejatuhan mereka. Jelas, Umno-BN dalam keadaan bertahan dan mengekori di belakang, manakala rakyat kini dalam momentum menyerang.

Jejak ke Putrajaya tidak lain adalah untuk segera membolehkan Pakatan Rakyat dapat menjayakan agenda kemakmuran kepada rakyat dan demi rakyat. Inilah agenda Reformasi. Selamat Hari Malaysia

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Demokrasi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

One Response to Dari meja Presiden : Pemerintah Bertahan, Rakyat Menyerang

  1. Anna berkata:

    Well said, Datin seri. 🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s