Dari Meja Presiden : Ibarat Tikus Baiki Labu

“Malaysia tak pernah dijajah!” Kenyataan ini keluar ketika kita membicarakan bagaimana sejarah selama ini dilakar hanya untuk berpihak kepada Umno-BN dan tokoh-tokohnya sahaja. Barang diingat, soalnya bukan komunis. Soalnya bagaimana banyak jasa pejuang kemerdekaan dikesampingkan hanya kerana mereka tidak bersama Umno.

Generasi muda hari ini yang lebih kritikal mula mempersoal, di mana diletakkan (?) nama dan peranan pejuang kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin El-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Bostamam bahkan sehinggalah nama-nama yang lebih awal seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman dan sebagainya.

Bahkan pertubuhan dan parti politik lebih awal dari Umno seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hisbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) adalah antara pertubuhan yang diharamkan Inggeris apabila Inggeris kembali ke Tanah Melayu selepas tamat Perang Dunia ke-2. Hanya Umno yang ditubuhkan pada 1946, iaitu setahun selepas Jepun menyerah kalah, diizinkan memainkan peranan sebagai parti politik oleh Inggeris.

Inilah persoalan utama di sebalik “isu Mat Indera”. Namun seperti biasa, nama-nama dan pertubuhan politik yang tak sehaluan dengan Inggeris, semuanya dilabelkan sebagai “komunis”.

Pada saya, Parti Komunis Malaya (PKM) harus dilihat berasingan dengan parti-parti politik lain seperti PKMM, API, AWAS dan Hisbul Muslimin misalnya. Kesemua parti kebangsaan itu tidak memilih jalan mengangkat senjata. Hanya Inggeris dan kemudiannya Umno-BN hari ini sahaja yang cuba menyamakan antara Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak di dalam hutan dengan parti-parti politik lain.

Atas sebab untuk menakut-nakutkan orang Melayu khususnya, maka guru agama yang hafal Quran seperti Mat Indera dituduh Komunis. Cukup menyedihkan apabila tuduhan itu dibuat tanpa sebarang kajian mendalam. Tindakkan pemerintah Umno-BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menerus menggunakan strategi ini meski selepas lebih 50 tahun kita merdeka.

Sejarah yang dipesong ini sudah cukup menyakitkan bangsa kita selama ini sehingga ia menyulitkan untuk anak bangsa melihat dirinya sendiri. Sejarah begitu penting untuk membantu kita melihat dunia sepertimana yang sewajarnya.

Sebab itu, kenyataan bahawa Malaysia (atau lebih tepat Tanah Melayu waktu itu) tak pernah dijajah adalah sesuatu yang tak masuk akal. Seandainya benar Malaysia tak pernah terjajah, lalu untuk apa kita menyambut hari kemerdekaan saban tahun? Untuk apa juga misalnya Malaysia menyertai Komanwel, iaitu sebuah badan yang menggabungkan negara-negara bekas jajahan Inggeris?

Inilah yang dikatakan ibarat “tikus membaiki labu”, iaitu sifat “pandir” yang pernah dikritik hebat oleh (allahyarham) Profesor Syed Hussein Alatas di dalam bukunya “Intelektual Masyarakat Membangun”. Sesuatu yang sediakala buruk sewajarnya diperbaiki untuk diperelokkan dan bukannnya untuk semakin dirosakkan!

Peranan cendiakawan dan ahli akademik sangat mustahak untuk membina bukan sahaja wadah dan pandangan politik, tetapi menetapkan teras-teras kenegaraan. Malang seribu kali malang apabila ada segelintir yang bukan sahaja semakin jauh dengan denyut nadi rakyat, namun merelakan diri menjadi suara untuk menyelamatkan pemerintah yang semakin tersepit dan terdesak. Sejak timbulnya isu Mat Indera, elit Umno-BN kini benar-benar hilang kewarasan dan hujah.

Perkembangan ini adalah usaha akhir untuk menutup dan mematikan terus nama-nama pejuang yang gugur menuntut kemerdekaan tanahair selepas tak seorang pun tokoh Umno yang terlibat secara serius sehingga terkorban jiwa.

Semakin cuba dinafikan, semakin rakyat celek mata bahawa kemerdekaan tanahair yang tercinta ini adalah dengan korban nyawa, bukan sahaja secara “rundingan” sepertimana yang sering dibangga-bangga oleh Umno. Seraya ingatlah, tanah tercinta ini bukan merdeka dengan dulang emas!

This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Politik, Sosial. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s