Teks Ucapan Presiden di Konvensyen Pilihanraya

PERJUANGAN DEMI RAKYAT

Bismillahirrahmanir rahim,

Assalamualaikum wbt

Yang dihormati Ketua Umum, Saudara Anwar Ibrahim, Yang Berusaha Saudara Azmin Ali, Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihanraya, Saudara Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agong parti, keseluruhan barisan pimpinan di semua peringkat, saudara-saudari rakan-rakan perjuangan yang saya kasihi.

Saya wajar memulakan ucapan pada konvensyen yang julung-julung kali diadakan ini dengan merakamkan rasa bangga dan terharu di atas komitmen dan kasih Saudara-saudari kepada parti. Alhamdulillah, walaupun kita diserang secara berterusan, namun moral dan semangat Saudara-saudari tidak sedikit pun terkesan. Saudara-saudari hadir beramai-ramai apabila parti memukul gendang membunyikan semboyan, sehinggakan ruang dewan ini melimpah dengan penggerak parti dari seluruh negara – baik yang terbang dari Sabah dan Sarawak, atau yang bertolak sebelum Subuh dengan bas untuk sampai tepat pada waktunya pagi ini, apatah lagi yang memandu dari segenap cerok kampung untuk bersama-sama pada hari ini.

Untuk Saudara-saudari yang setia berjuang untuk parti dan demi rakyat selama ini, saya dan parti tidak mempunyai wang untuk membayar pengorbanan Saudara-saudari. Parti juga tidak berjanji bahawa ada pampasan sekiranya kita berkuasa kelak. Tetapi pada hari ini, saya ada pantun lama yang membicarakan suara hati saya untuk Saudara dan saudari, teman-teman sekalian:

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang juga.

Bila memandang ke muka laut

Nampak sampan mudik ke hulu

Bila terkenang mulut menyebut

Budi yang baik ingat selalu.

Tinggi-tinggi pohon jati

Tempat bermain semanja sayang

Sungguh tinggi harga budi

Budi dibalas kasih dan sayang.

Pohon mengkudu tumbuhnya rapat

Rapat lagi si pohon jati

Kawan beribu mudah didapati

Sahabat setia payah dicari.

Jasa dan pengorbanan Saudara-saudari yang membela parti tatkala yang bergelar pemimpin melompat, kesetiaan Saudara-saudari yang mempertahankan parti dari serangan yang tidak kunjung henti dan rasa sayang Saudara-saudari yang tidak berbelah bagi terhadap parti – telah menjadi sumber kekuatan saya sejak dari awal parti ini ditubuhkan.

Dalam tahun 1998, saya hanya seorang ibu dan isteri yang menuntut keadilan untuk suami dan keluarga saya. Penganiayaan terhadap keluarga saya telah disambut oleh rakyat dan Saudara saudari sehinggalah ke hari ini. Kalau ada yang bertanya dari mana datangnya inspirasi untuk seorang ibu seperti saya memimpin sebuah gerakan massa seperti KEADILAN, Saudara saudarilah inspirasi saya.

PENGORBANAN PETUGAS PARTI

Hari ini kita berkumpul untuk meraikan kekuatan perjuangan kita dan kesetiaan Saudara saudari, sebagai ingatan untuk kita berdepan dengan cabaran pilihanraya umum ke-13.

Dicelah-celah semangat yang membakar dan daya juang yang berkobar-kobar, saya pohon kita sedekahkah al-Fatihah dan bertafakur kepada ribuan pejuang-pejuang yang telah pergi meninggalkan kita.

<al Fatihah>

Tatkala kita berada di kemuncak persediaan konvensyen pada kali ini, ibu pejabat dan kakitangan parti sayu dengan pemergian mengejut Allahyarham Zuraidah yang diserang angin ahmar. Saya cukup-cukup tersentuh dengan ingatan dari Allah SWT seperti ini, supaya kita insaf akan amanah yang kita pikul demi rakyat Malaysia dan kenal erti pengorbanan seluruh jentera kita yang setia selama ini.

KEADILAN menjadi sebuah parti yang kuat dan disegani dengan kehadiran insan-insan seperti Allahyarham Zuraida. Beliau mula bertugas sepenuh masa dengan parti sejak tahun 2005 di kala kita berada dalam keadaan yang sukar selepas pilihanraya umum 2004. Setelah berkhidmat di Melaka, beliau mengharungi hiruk pikuk kota seorang diri memperkuatkan pentadbiran parti di ibu pejabat.

Allahyarham Zuraida mungkin bukan penceramah besar. Beliau juga tidak menampakkan cita-cita untuk berjawatan tinggi sekiranya parti menang. Tetapi insan berjiwa besar seperti Allahyarham Zuraida inilah yang memastikan pentadbiran parti di belakang tabir berjalan lancar sementara kita yang lain memikul peranan masing-masing.

Di depan saya pada hari ini, ada beribu-ribu insan berjiwa besar seperti Allahyarham Zuraida. Kalau kita menang kelak, Saudara-saudari akan kembali dengan kehidupan Saudara-saudari cukup sekadar berpuas hati bahawa perjuangan yang kita mulakan melangkah setapak ke hadapan. Ada di antara Saudara-saudari yang tidak lekang dan jemu turun menghadiri perhimpunan, hadir di mahkamah atau menganjurkan ceramah demi ceramah saban minggu sejak tahun 1998.

Ini kekuatan parti kita yang lahir dari sebuah gerakan rakyat. Dalam kita bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum yang terpenting setakat ini, kita perlu kembali kepada asal dan fitrah parti kita.

Kita parti yang menjunjung aspirasi rakyat, maka kita wajib terus dekat dengan rakyat. Kita parti yang bermula dengan sedikit sahaja wakil rakyat dan pemimpin nasional, tetapi diangkat oleh rakyat ke kedudukan yang ada sekarang – maka, agenda kita jangan sekali-kali melupakan rakyat. Kekuatan kita datangnya dari rakyat, oleh sebab itu saya yakin bahawa jika kita terus kekal berjuang demi rakyat, kita akan dapat mengharungi apa jua cabaran yang dilontarkan kepada kita kerana rakyat akan kekal bersama-sama kita.

MENDEKATI RAKYAT

Saudara-saudari yang dikasihi

Sepanjang konvensyen hari ini, kita menerima pelbagai pesanan dan mesej dari parti. Ada yang disampaikan secara lucu dan bersahaja, ada yang jelas dan tegas mesejnya, ada yang dibuat perlambangan.

Tetapi mesejnya hanyalah satu – menang atau kalah calon-calon kita dalam pilihanraya umum ke-13 akan ditentukan oleh kecekapan kita sebagai jentera parti. Jentera parti ini merangkumi pimpinan yang teratas sehinggalah adik-adik yang akan memasang bendera dan poster pada hari penamaan calon; jangan ada di kalangan pimpinan yang berpandangan jentera merujuk kepada petugas-petugas di peringkat cabang kerana parti ini tidak ada tempat untuk hirarki atau kedudukan.

Satu lagi mesej yang konsisten adalah pesanan supaya kita terus mendekati rakyat; agar kita sentiasa tawaddhu’ dalam muhasabah kita bahawa apalah erti semua ini, apalah guna kuasa politik kalau tidak diusahakan untuk rakyat, demi kebaikan rakyat.

Saya memohon pertimbangan Saudara-saudari supaya menghadam sepenuhnya pesanan-pesanan ini yang perlu kita praktikkan apabila kita balik ke cabang untuk mengemaskini jentera kita. Secara peribadi, saya berpesan supaya Saudara-saudari memberikan perhatian kepada 3 perkara asas:

Pertama, perhebatkan kempen dari rumah ke rumah dengan mengedarkan risalah dan memberikan sentuhan peribadi kepada pengundi-pengundi. Gerak kerja mengunjungi pengundi dari rumah ke rumah harus dibudayakan di dalam parti sehingga KEADILAN dikenali sebagai parti yang paling berkesan dari segi kempen rumah ke rumahnya. Saya nasihatkan supaya setiap cabang menubuhkan pasukan khas juru kempen rumah ke rumah dan menyiapkan jadual untuk melawat semua pengundi sekerap mungkin sebelum pilihanraya umum dipanggil.

Kedua, saya memohon supaya kuasa wanita di dalam parti diserlahkan sepenuhnya. Kumpulan majoriti pengundi terbesar adalah golongan wanita dan mereka sangat terbuka kepada kempen rumah ke rumah. Budaya kita mengalu-alukan tetamu, jadi kita perlu gunakan keunikan ini untuk mendekati pengundi dengan lebih berkesan. Saya percaya pimpinan Wanita di segenap peringkat faham kedudukan dan kepentingan strategik mereka dalam memenangkan calon parti, maka satu bentuk kempen oleh Wanita secara tersusun perlu digerakkan dengan segera.

Ketiga, saya nasihati supaya setiap cabang meneliti dan menghalusi daftar pengundi terkini untuk mengenalpasti jika ada nama-nama yang diragui. Parti sangat peka kepada usaha-usaha yang cuba merosakkan lagi kredibiliti dan kebebasan amalan pilihanraya di negara ini, tetapi kepekaan ini perlu diterjemahkan kepada gerak kerja yang teliti di peringkat akar umbi. Bantahan mengenai sebarang keraguan dalam daftar pengundi wajib dibuat sekarang kerana prosesnya panjang, bukannya sewaktu kita sudah berada dalam tempoh kempen pilihanraya.

RENDAH DIRI DAN TAQWA MENJUNJUNG PERJUANGAN PARTI

Saudara-saudari yang dikasihi

Izinkan juga saya untuk berpesan kepada semua supaya kita kekal dengan sikap rendah diri dan taqwa dalam saat-saat kita menghadapi pilihanraya umum.

Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan kalau kita bermusyawwarah dan meletakkan kepentingan parti di atas. Tidak ada musuh yang boleh menggoncang semangat juang kita kalau kita faham erti perjuangan ini dan mengangkat kerangka besar perjuangan mengatasi.

Untuk itu, saya ingin akhiri pesanan ringkas pada konvensyen ini dengan beberapa imbasan hadis dan petikan Al-Quranul Kareem untuk kita jadikan pedoman dalam perjuangan:

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawasanya seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya:

“Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan supaya disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”.

Lalu Rasulullah SAW menjawab:

“Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah”

Dan ingat jugalah kita kepada pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Imran ayat 146 yang bermaksud:

“Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.”

Maka, kembalilah kita ke cabang masing-masing dengan azam untuk terus memikul amanah demi rakyat dan sebuah perjuangan yang kita sama-sama bina. Doa saya bersama-sama Saudara-saudari, seperti mana doa Saudara-saudari tidak lekang mengiringi saya sekeluarga.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum wbth.

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Demokrasi, Ekonomi, KEADILAN, Kenyataan Media, Pakatan Rakyat, Politik. Bookmark the permalink.

One Response to Teks Ucapan Presiden di Konvensyen Pilihanraya

  1. muhammad rais berkata:

    saya bersetuju dgn pakatan rakyat. bahkan saya juga ingn sertai domo untuk rakyat.. kefahaman rakyat dalam negara kita msh sempit,politik perlu bermula dari kefahaman yg betul KERANA dari kefahaman yg brtul menjurus kearah tindakan yg tepat…,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s