Ucapan Perasmian Penutupan Konvensyen Warga Felda dan Orang Asal

Konvensyen Warga Felda dan Orang Asal yang dianjurkan oleh Task Force Felda Negeri Selangor

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Yang dihormati  Pengerusi Majlis,

Yang berusaha, Tuan Hj Suhaimi Said selaku Pengerusi Konvensyen Felda 2011, Saudara Shamsul Iskandar; Pengerusi Task Force FELDA Negeri Selangor
Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta hadirin yang dikasihi.

Syukur kehadrat Ilahi dan saya sangat berbesar hari pada hari ini kerana diberikan peluang untuk berucap di Konvensyen Warga Felda dan Orang Asal yang dianjurkan oleh Task Force Felda Negeri Selangor.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Felda melambangkan perjuangan pembelaan kepada petani-petani luar bandar dan dengannya ribuan petani-petani luar bandar telah dapat ditempatkan diperkampungan yang tersusun dengan masing-masing memiliki rata-rata tanah ladang seluas 10 ekar dan tanah kampong seluas 1/4 ekar.
Petani-petani ini telah menyertai rancangan Felda di seluruh Negara dengan mempunyai pengharapan yang tinggi untuk memperbaiki kehidupan mereka serta generasi mereka.

Didalam usaha itu, mereka telah membanting tulang, berkorban masa dan kudrat demi untuk masa depan mereka serta generasi baru mereka.
Diperingkat awal mereka menerokai tanah-tanah dirancangan Felda mereka mendapat pendapatan yang sangat kecil bahkan upahan kepada titik peluh mereka hanya pertukaran dengan barang-barang yang mereka ambil di kedai-kedai PNF milik Felda.  Pada waktu itu adalah menjadi lazim pendapatan tunai mereka tidak melebihi RM20.00 sebulan.  Namun, demi masa depan mereka dan demi harapan untuk memiliki harta, mereka tetap tekun bekerja di ladang-ladang mereka.

Saudara dan saudari,

Inilah yang dijanjikan dan diharapkan oleh Allahyarham Tun Razak agar peneroka-peneroka ini menjadi pemilik ladang yang berdikari dan mempunyai pendapatan yang stabil dan sederhana. Pada waktu impian mereka menjadi kenyataan, Felda sudah mengalih atau merubah tujuan mereka daripada bertujuan untuk membasmi kemiskinan di luar bandar apabila Felda menjadikan matlamat mereka sebagai badan konglomerat dan korporat. Maka peneroka-peneroka dijadikan alat yang bertujuan tujuan untuk mencapaikan cita-cita Felda menjadi badan konglomerat pertanian dan apa juga yang diusahakan oleh Felda didalam bidang pelaburan dalam dan luar Negara hanya menjadikan peneroka sebagai bidak didalam percaturan komersil.

Felda boleh berpendapatan hingga berbilion ringgit setahun, namun peneroka-peneroka hanya memperolehi pendapatan yang tidak sepadan dengan pemegangan mereka terhadap ladang mereka. Peneroka-peneroka dikenakan hutang yang tidak munasabah jika dibandingkan dengan pendapatan yang sepatutnya mereka boleh perolehi dari ladang masing-masing.

Isu demi isu yang menimpa peneroka-peneroka menampakkan bahawa Felda tidak mendahulukan peneroka-peneroka tetapi mendahulu kepentingan Felda yang terpisah dengan kepentingan peneroka-peneroka.

Para hadirin sekalian,

Konvensyen ini telah berjaya mengupas isu-isu penting untuk perjuangan keadilan bagi peneroka-peneroka, dan rumusan-rumusan darinya diharap akan dapat digunakan untuk pembelaan terhadap peneroka-peneroka serta generasi mendatang dikalangan peneroka-peneroka Felda di seluruh Negara.
Saya sedar bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah melakukan perubahan untuk kepentingan Peneroka Negeri ini, namun masih banyak masalah yang belum dapat diatasi.

Masalah Peneroka dan Generasi Kedua di Felda Sg Buaya masih jauh dari dapat diselesaikan walaupun Kerajaan Negeri Selangor sedang didalam proses untuk mengatasinya.  Walaupun masalah yang timbul di Sg Buaya itu adalah hasil daripada tindakan rakus pentadbiran Kerajaan yang terdahulu, tetapi ia kini terpikul keatas Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini, dan saya penuh yakin bahawa Kerajaan Negeri Selangor dibawah kelolaan YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat membawa perubahan di Sg Buaya.

Saya juga mendapat maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedang mendahului Negeri-Negeri lain didalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi oleh Orang Asal di Selangor.  Melalui tindakan bertanggungjawab geran-geran tanah untuk beberapa buah kampong di Selangor telah dikeluarkan kepada penduduknya.

Namun begitu kedudukan Orang Asal di Selangor masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penduduk-penduduk lain.  Ini tidak bermakna bahawa kedudukan Orang Asal di Selangor berada ditahap yang lebih rendah daripada kedudukan Orang Asal di Negeri-Negeri lain. Beberapa kertas kerja dan memorandum yang dihantarkan oleh kumpulan penggerak Orang Asal di Semananjung kepada Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri menuntut bukan sahaja mereka diberikan hakmilik individu keatas tanah kampong yang mereka duduki, mereka juga menuntut hak perlindungan kekal yang tidak boleh diganggu-gugat oleh Undang-Undang keatas tanah rayau dan adat mereka.

Saudara dan saudari,

Apa yang berlaku kini bukan sahaja tanah adat dan rayau mereka diganggu-gugat dengan pembatalan gezet-gezet yang pernah diwartakan oleh Penjajah Inggeris dahulu, tanah-tanah mereka juga diganggu-gugat oleh golongan korporat yang diluluskan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk pembalakan dan pembinaan ladang bahkan Rezab yang mereka sangka menjadi hak dan milik mereka diwartakan pula sebagai Rezab Game Warden atau Rezab Perhilitan.

Orang Asal ditangkap dan dibawa ke Mahkamah apabila mereka memasuki hutan yang di Rezab Perhilitan itu kononnya mereka pula yang menjadi penceroboh.
Kehidupan Orang Asal menjadi terumbang-ambing apabila Kerajaan Persekutuan meminda Akta 134.  Dibawah pindaan itu hanya Ketua isi keluarga sahaja yang akan diberikan geran tanah, dan jumlah keluasannya tidak boleh melebihi 6 ekar, bahkan secara puratanya mereka akan hanya mendapat antara 2 hingga 3 ekar.  Ini adalah satu pegangan yang sangat tidak ekonomik.

Didalam tahun-tahun awalan Negara mencapai kemerdekaan, pegangan seluas kurang dari 3 ekar dianggap pegangan yang tidak ekonomik untuk petani-petani dan justeru itu rancangan Felda ditubuhkan untuk memberi peluang kepada petani-petani memiliki tanah ke tahap keluasan 10 ekar.
Namun, kerajaan tidak bersikap adil kepada Orang Asal apabila mereka menukarkan Akta 134 dan mahu memberikan pegangan yang dianggap tidak ekonomik pada tahun-tahun awalan kemerdekaan.

Saudara dan saudari yang dihormati,

Saya berpendapat bahawa Orang Asal yang merupakan manusia yang paling ulung tinggal di Negara ini mesti diberikan keutamaan.  Dan dengan jumlah Orang Asal yang dikatakan hanya 150,000 orang di seluruh Semenanjung, satu bilangan yang kecil, kenapa tidak golongan ini diberikan peluang untuk memiliki ladang seluas 10 ekar dan tanah kampong 1/4 ekar diberikan kepada setiap mereka yang layak dibawah skim yang sama seperti Felda tetapi tidak diikatkan dengan masalah-masalah yang dicipta oleh Felda yang  hilang pedoman “Tun Razak”.
Kita mahu Orang Asal hidup dengan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum yang lain di Negara ini.

Hadirin yang dikasihi,

Dengan kata-kata itu, dan dengan lafaz  Bismillahirahmanirahim saya merasmikan penutupan Konvensyen Warga Felda dan Orang Asal; dan dengan ini juga merasmikan PELANCARAN BIRO WARGA FELDA DAN ORANG ASAL.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum wrwb

 

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Demokrasi, KEADILAN, Kenyataan Media, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s