Ucapan Penutup Konvensyen PKR Sabah 2011

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, kopi vosian, selamat petang dan salam reformasi.

Bismillahirrahmanirahim, Alhamdulillahi rabbil a’lamin, wassalatuwassalamu ala asyarafil anbiya’ iwal mursalin….

Yang saya muliakan Saudara Pengerusi Majlis, yang dihormati seluruh barisan kepimpinan KEADILAN Sabah, wakil-wakil dari parti-parti Pakatan Rakyat, Ketua-ketua Cabang, perwakilan-perwakilan seterusnya saudara dan saudari yang saya hormati.

Siapa kata Sabah berpecah ? Kalau kita berpecah mana mungkin kita mampu mengadakan Konvensyen selama dua hari. Sebanyak lapan kertas kerja yang berjaya dibentangkan dan dikupas. Bermula dari isu tanah, hak dan peluang2 memperolehinya hinggalah kepada otonomi Sabah jika kita ke Putrajaya. Alhamdulillahi, kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin kurnianya kita berjaya melangsungkan dua program besar yang menjadi mercu tanda keazaman KEADILAN Sabah untuk memimpin perubahan di Sabah. Semalam dengan jayanya kita telah berjaya mengupas isu-isu penting berkaitan pengurusan tanah dan berkongsi pengalaman dengan YB Elizabeth Wong tentang pendekatan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam membela hak tanah adat di Selangor.

Sepanjang hari ini, kita juga telah berjaya melangsungkan Konvensyen KEADILAN Sabah yang buat julung-julung kalinya menampilkan muafakat barisan kepimpinan KEADILAN Sabah dan tokoh-tokoh negarawan Sabah untuk membulatkan hasrat memimpin perubahan di Sabah dan Malaysia. Keupayaan pimpinan KEADILAN Sabah, dengan kejayaan menggerakkan sokongan akar umbi yang besar dan menggembleng tenaga dengan aktivis serta pemimpin masyarakat setempat, adalah lambang kesediaan KEADILAN Sabah dalam memimpin perubahan di Sabah.

Saudara-saudari yang dihormati

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan rasa sedih dan simpati KEADILAN terhadap magsa tsunami yang menggegarkan lewat semalam. Satu gempa bumi yang terbesar dalam sejarah 140 tahun negara itu, berskala 8.9 richter telah melanda dan mengakibatkan ombak tsunami yang dasyat. Berita kematian terus kita dengar dan kerajaan Jepun terpaksa bertungkus lumus memastikan segala persiapan yang terbaik dapat disediakan demi keselamatan rakyatnya.

Jepun adalah antara negara yang pertama yang menawarkan bantuan tatkala tsunami besar melanda Indonesia, Malaysia dan rantau ini dalam tahun 2004. Jepun juga telah lama menjadi rakan dagang negara Malaysia dan ramai anak-anak bangsa Malaysia, termasuk yang berasal dari Sabah yang mendapat pendidikan di Jepun. Oleh itu, saya mengajak seluruh rakan-rakan perwakilan dari Sabah untuk memberikan tanda hormat kepada seluruh rakyat Jepun dan mangsa malapetaka gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun semalam.

Saudara-saudari perwakilan yang saya hormati

Saya mengajak saudara-saudari menginsafi bahawa dunia yang ada pada hari ini adalah dunia yang berlainan kerana mutakhir ini, perubahan-perubahan ini dimanifestasikan secara nyata. Perubahan-perubahan ini menuntut untuk kita kembali kepada prinsip asas hubungan sesama manusia, alam sekitar dan segala makhluk ciptaan Allah SWT – bahawa hubungan ini perlulah diasaskan kepada rasa hormat, semangat keadilan dan meletakkan perkara yang hak ditempatnya.

Justeru, perubahan-perubahan besar mutakhir ini bukan sahaja mengajak kita menilai hubungan kita dengan alam sekitar, malah hubungan kita sesama manusia. Dimana ada kezaliman maka di situ akan wujud kebangkitan massa- rakyat. Lihat sahaja di Mesir, Tunisia, Libya, Yemen dan negara-negara Timur Tengah menjadi peringatan utama kepada semua yang berkuasa di dunia ini bahawa sesebuah sistem pemerintahan yang tidak berasaskan kepada keadilan sosial dan penghormatan kepada suara rakyat akhirnya akan tumbang.

Kebangkitan ini memberi inspirasi kepada penduduk seluruh dunia yang saban hari bergelumang dengan pemerintah yang zalim dan menindas rakyat sendiri. Tatkala pelbagai cubaan selama ini untuk membawa angin demokrasi gagal mencetuskan perubahan besar, akhirnya gerakan rakyat yang tidak disusun tetapi meletup secara spontan, berjaya menumbangkan kekuasaan rejim-rejim yang sekian lama takbur dan bongkak dengan kekuasaan mereka.

Saudara-saudari rakyat Sabah yang saya hormati

Makanya, KEADILAN Sabah perlu lebih cepat menghidu dan menginsafi bahawa rakyat Sabah dan negeri Sabah yang ada pada hari ini adalah berbeza dengan negeri Sabah yang ada 10 tahun yang lalu. Hukum alam yang telah menetapkan bagi setiap kemurkaan yang dilakukan penguasa itu akan dijawab dengan kebangkitan suara rakyat, telah pun juga lama bertapak di Sabah.

Sabah yang ada pada hari ini bukanlah Sabah yang asal. Aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kemerdekaan dalam Persekutuan Malaysia membawa makna kepada taraf kehidupan setiap rakyat Sabah, akhirnya bertukar menjadi kemarahan dan rasa kecewa kerana mandat yang diberikan itu dijadikan senjata untuk mencabul hak setiap rakyat Sabah.

Sabah yang dulunya adalah negeri yang terkaya, kini hanya kaya dengan ingatan-ingatan pengkhianatan yang dilakukan oleh segelintir ahli politik penting diri yang bersekongkol baik di peringkat persekutuan dan Sabah untuk menindas rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Mesej dan hasrat rakyat Sabah yang dipimpin KEADILAN sepanjang berlangsungnya konvensyen pada hari ini adalah jelas. Rakyat Sabah mahukan perubahan. Rakyat Sabah mahukan keadilan. Rakyat Sabah mahukan kebebasan. Rakyat Sabah mahu Putrajaya kembali kepada janji-janji yang dibuat dalam tahun 1963 dahulu.

Saya rasa bersyukur kerana di tengah-tengah kebangkitan rakyat Sabah ini adalah KEADILAN yang berdiri teguh. Kita diserang dan dijadikan bahan cemuhan. Ada yang pergi, tetapi setiap pengkhianatan dijawab dengan keazaman oleh pemimpin dan anggota yang ada untuk terus membela nasib rakyat Sabah.

Saya ingin mewakili rakan-rakan pimpinan di dalam KEADILAN Sabah ingin memberikan peringatan yang jelas kepada musuh-musuh yang cuba memusnahkan kesepakatan rakyat Sabah di dalam KEADILAN Sabah. Saudara-saudara boleh merasuah wang, saudara-saudara boleh membawa masuk pendatang asing agar undi boleh diselewengkan, saudara-saudara boleh membeli beberapa kerat orang yang tidak berprinsip untuk mengkhianati perjuangan rakyat yang kami bawa.

Namun, saudara-saudara tidak mampu menghentikan perubahan dunia dan masyarakat yang pantas berlaku kerana itu hukum alam. Saudara-saudara tidak boleh menandingi rasa membuak-buak rakyat yang tertindas selama ini untuk menuntut keadilan. Saudara-saudara tidak boleh membutakan mata rakyat Sabah selama-lamanya bahawa yang kenyang dan mewah di atas kesengsaraan rakyat adalah segelintir pemimpin politik yang rasuah dan pecah amanah.

Kekayaan Sabah dikikis satu persatu dan tanpa sedar. Yang terbaru, pentadbiran Barisan Nasional telah menyerahkan dua blok minyak yang berharga milik Sabah iaitu Blok L dan M tanpa sepatah pun bertanyakan persetujuan rakyat Sabah, baik di dalam Dewan Undangan Negeri ataupun referendum rakyat, seperti mana rakyat Sabah dirujuk sebelum pembentukan Malaysia. Hasil dari kedua-dua blok itu dianggarkan mencecah ratusan billion dalam tempoh dua dekad akan datang – sekarang hak rakyat Sabah ke atas kekayaan itu dilucutkan begitu sahaja tanpa sedikit rasa hormat pun oleh pemimpin Barisan Nasional di Kota Kinabalu dan Putrajaya.

Saudara-saudari yang saya hormati

Masalah rakyat Sabah terhadap kebanjiran pendatang asing yang diberikan hak yang sama dengan rakyat Sabah perlu diselesaikan secepat mungkin. Saya mahu memberi jaminan yang tegas kepada rakyat Sabah, bahawa Pakatan Rakyat dan KEADILAN tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

Sebab itu, rakyat Sabah tidak perlu khuatir kerana suara rakyat Sabah yang mahukan penyelesaian kepada kemelut imigrasi dan pendatang asing ini turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia. Hasrat itu didokong sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat dan menjadi salah satu daripada 10 program pertama Pakatan Rakyat apabila berkuasa di Putrajaya. Satu Suruhanjaya diRaja Bebas akan ditubuhkan untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemelut pendatang tanpa izin, seterusnya membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka keadilan.

Saudara-saudari yang saya hormati

Perbahasan dan idea yang dilontarkan sepanjang Konvensyen hari ini bukan retorik semata-mata. Tahniah kepada keseluruhan pimpinan KEADILAN Sabah terutamanya rakan-rakan saya di dalam Majlis Presiden yang bertungkus-lumus menjalankan rundingan dengan pimpinan masyarakat, untuk melahirkan satu gagasan dasar yang boleh dilaksanakan untuk membela rakyat Sabah. Pelancaran Buku Jingga Sabah pada hari ini, yang menggariskan 10 langkah yang khusus untuk membela rakyat dan mengangkat kedaulatan Sabah adalah bukti bahawa kita akan mentadbir Sabah dengan lebih berhemah, bertanggungjawab dan menjunjung aspirasi rakyat Sabah.

Jawapan kita adalah jelas.

Kita bukan sahaja akur dengan suara rakyat Sabah bahawa mereka mahu pastikan kekayaan minyak dan gas hasil bumi Sabah diwarisi oleh generasi akan datang tetapi kita ulangi bahawa  20% hasil minyak dikembalikan kepada Sabah.

Saya mengalu-alukan pendirian KEADILAN Sabah bahawa sewajarnya sebuah syarikat minyak milik rakyat Sabah yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa juga diwujudkan untuk bekerjasama secara erat dengan PETRONAS, supaya apabila hasil minyak dan gas Sabah sudah ketandusan, kekayaan itu diwariskan dalam bentuk anak-anak Sabah yang bisa menjelajahi dunia sebagai pakar-pakar dalam bidang minyak dan gas.

Rakyat Sabah menuntut autonomi, maka kita akur sepenuhnya bahawa perkara ini perlu dijunjung oleh KEADILAN Sabah. Saya beri jaminan bahawa pimpinan Sabah – baik di dalam KEADILAN, Pakatan Rakyat mahupun kerajaan negeri kelak, akan dipilih oleh rakyat Sabah. Pimpinan KEADILAN Sabah akan dipilih oleh ketua-ketua cabang sendiri tanpa ada campur tangan pusat, sebagai menghormati hasrat rakyat Sabah yang menuntut hak mereka dihormati seperti yang terkandung di dalam perjanjian persekutuan.

Malah, saya juga ingin mengumumkan bahawa KEADILAN akan memberi mandat kepada sebuah Jawatankuasa Perlembagaan untuk menyemak mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan KEADILAN supaya semangat autonomi ini juga diterjemahkan satu persatu di dalam Perlembagaan KEADILAN. Demi rakyat Sabah, KEADILAN tidak akan teragak-agak untuk menyemak Perlembagaan parti agar semangat autonomi yang disuarakan oleh rakyat Sabah benar-benar kita junjung.

Saudara-saudari yang saya hormati

Saya yakin dengan gagasan yang konkrit dan dipersembahkan kepada rakyat Sabah dalam bentuk Buku Jingga Sabah, kita akan berjaya menggamit hasrat mereka yang mahukan perubahan. Seperti mana di negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Malaysia, Buku Jingga semakin mendapat tempat dan menjadi ancaman utama kepada Barisan Nasional kerana tawaran yang dibuat kepada Pakatan Rakyat adalah mudah dan benar-benar difahami oleh rakyat.

Akhirnya saudara-saudari yang saya hormati, kita perlu kembali kepada peringatan yang saya sebut pada awal ucapan.

Bahawasanya dunia yang ada pada hari ini tidak sama dengan dunia yang kita tinggalkan semalam. Dunia pada hari ini adalah dunia yang bergelumang dengan malapetaka, dunia yang akan menghukum penguasa yang zalim dengan kebangkitan rakyat yang tidak akan reda.

Dunia Sabah pun akan berubah – Sabah yang ada pada hari ini adalah Sabah yang penuh dengan keazaman untuk mendapatkan haknya. Rakyat Sabah akan berubah, sama ada KEADILAN bersedia atau tidak untuk bersama-sama dengan perubahan itu. Rakyat Sabah telah memimpin perubahan sebelum ini dan membuktikan bagaimana kuasa untuk menukar kerajaan berada di tangan rakyat, malah rakyat Sabah telah memberi peringatan ini selama enam kali dengan menukar kerajaan negeri. Rakyat Sabah akan sekali lagi memimpin perubahan dalam Persekutuan Malaysia, kerana pertukaran kerajaan yang bermula di Kota Kinabalu akan sampai ke Putrajaya.

Dalam suasana dunia Sabah yang berubah ini, tanggungjawab terletak di bahu kita pimpinan dan aktivis KEADILAN Sabah untuk memimpin perubahan itu. Jangan kita menjadi puing-puing yang terapung-apung dibawa ombak tsunami, biarlah kita menjadi ombak tinggi yang membawa tsunami untuk memecahkan kebejatan Barisan Nasional.

Makanya, saya akhiri ucapan ini dengan peringatan kepada saya dan saudara-saudara untuk merapatkan barisan dan menumpukan perhatian menumbangkan Barisan Nasional bermula di Sabah dan seterusnya merebak di seluruh negara. Ini adalah tuntutan rakyat kepada kita – kalau kita gagal melaksanakannya, maka kita juga hanyalah menjadi buih-buih yang hanyut apabila tsunami perubahan melanda Sabah dan Malaysia kelak.

Dengan ini, dengan lafaz bismilahhirrahmaanirahim – saya dengan rendah diri dan insaf menerima suara rakyat Sabah dan menutup Konvensyen KEADILAN Sabah 2011.

Sekian, terima kasih.

 

 

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s