Saifuddin akui Buku Jingga baik untuk negara

Dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencipta beberapa kejutan apabila secara jujur mengakui pelbagai perkara yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat baik bagi kepentingan negara.

Selain menyokong diadakan forum yang melibatkan wakil-wakil pelbagai parti di universiti bagi menghidupkan roh demokrasi di pusat-pusat pengajian tinggi, beliau juga mengakui pertembungan Buku Jingga dan Buku Biru merupakan sesuatu yang baik kerana boleh menyegarkan demokrasi di tanah air.

Menurut beliau, dalam negara yang mengamalkan demokrasi, program (forum) yang mempertemukan wakil-wakil pelbagai parti seperti itu merupakan sesuatu yang mustahak dan tidak seharusnya dipandang dari sudut negatif oleh pelbagai pihak.

Manakala dasar yang diperjuangkan oleh PKR, DAP dan PAS yang menolak politik perkauman, sememangnya baik bagi melahirkan perubahan politik di tanah air.

“Tetapi dalam usaha melahirkan perubahan politik, Barisan Nasional (BN) juga sebenarnya turut melakukannya. Itu semua boleh dilihat dari Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Berucap pada forum Persidangan Kebangsaan, Demokrasi dan Pilihanraya; Prospek dan Cabaran Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 di Universiti Malaya (UM), semalam, beliau berkata, sesuatu yang baik dalam hal ini, ia bergantung kepada pendekatan yang digunakan antara Pakatan Rakyat dan BN yang boleh dinilai oleh rakyat sendiri.

“Penentu survival sesebuah parti bergantung kepada sejauh mana parti itu boleh membawa sesuatu yang baru dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Jadi siapa yang servis baik adalah yang boleh mempertahankan bukunya,” tegasnya.

Politik perkauman, katanya, Perdana Menteri juga mengatakan bahawa ia hanya untuk sesuatu tempat. Politik baru pula sudah dilakukan oleh Barisan Nasional kerana yang dilihat oleh orang ramai bukan sahaja parti, tetapi juga calon, manifesto dan budaya parti. Manakala politik pembangunan sudah diakui oleh BN hanya relevan pada sesetengah tempat.

Namun beliau mengakui pengundi-pengundi kini terutama pengundi-pengundi muda ternyata lebih cerdik sehingga mampu melihat segalanya itu dengan lebih jauh dalam kerangka yang lebih luas.

“Perkembangan ini sememangnya menarik. Inilah juga yang menyebabkan Pakatan Rakyat turut mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum yang lalu sehingga mampu menjadi pembangkang yang baik,” katanya.

Beliau juga kesal apabila politik dan agama sebagai sesuatu yang tidak boleh dipisahkan seperti yang diperjuangkan oleh PAS masih menjadi pertikaian pihak tertentu, pada hal ia tidak sepatutnya berlaku, kerana perkara itu sememangnya sudah jelas dalam ajaran Islam yang menegaskan politik adalah sebahagian dari Islam.

Selain itu, beliau turut mengakui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai personaliti yang hebat dan mempunyai pandangan jauh dalam pelbagai perkara, sehingga turut diakui dunia.

“Dalam hal ini, bergantung kepada perspeksi masing-masing. Bagi BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bahaya besar, tetapi bagi Pakatan Rakyat, untung besar. Tetapi yang itu bukanlah politik segar yang rakyat nak tengok,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Mengenai kebebasan media, beliau juga bersetuju jika dilaksanakan di negara ini dengan dihapuskan akta-akta tertentu yang menyekatnya bagi membolehkan ia dilihat secara adil.

Beliau turut menyifatkan sesuatu yang amat malang jika pihak pemerintah menghalang rakyat mengkritik sesuatu yang tidak baik yang dilakukan, memandangkan mengkritik itu merupakan sesuatu yang baik bagi parti kerana di dalamnya mengandungi unsur-unsur yang membina.

“Jadi dalam hal ini, tentunya tidak kena jika dikatakan kritikan positif dan negatif kerana setiap kritikan adalah baik. Sebaliknya yang tidak baik adalah menghentam,” ujar beliau.

Forum tersebut dianjurkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Universiti Malaya (UM). Ia diadakan di Dewan Kuliah C, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM dan menampilkan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai moderatornya.

Manakala ahli-ahli panelnya terdiri daripada Datuk Saifudin, Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nasir Zakaria dan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

 

About wanazizahblog

President of Parti keADILan
This entry was posted in Ekonomi, KEADILAN, Politik. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s